Ada seorang anak tiri Nabi yang kemungkinan besar kita biasa temui namanya tetapi tidak perasan. Beliau perawi penting yang meriwayatkan satu hadis panjang tentang sifat keperibadian Rasulullah, bapa tirinya. Beliau ialah Hind bin Abu Halah, anak kepada Sayidatina Khadijah. Hadis tersebut terakam dalam kitab Syama’il al-Muhammadiyah, susunan Imam al-Tirmizi. Berikut hadisnya:

Hasan bin Ali, cucu Rasulullah berkata, “Aku pernah bertanya mengenai sifat Rasulullah kepada pak cikku yang bernama Hind bin Abu Halah. Beliau antara orang pandai menyifatkan Rasulullah. Aku sangat berharap Hind dapat menceritakan beberapa sifat Rasulullah kerana aku mahu mencontohi Baginda.  

Menurut beliau, “Rasulullah seorang lelaki yang berwibawa. Wajahnya cerah berseri bagaikan rembulan yang bersinar pada malam hari. Baginda lebih tinggi daripada orang yang sederhana dan lebih rendah daripada orang yang tinggi. Kepala Baginda besar (padan dengan dadanya yang bidang dan tubuhnya gagah).

Rambutnya beralun. Apabila rambut bahagian depannya terurai, Baginda membuat belahan dua. Jika tidak membelah dua, hujung rambutnya dibiarkan sampai cuping telinga, namun tidak melepasi had itu. Rasulullah menjadikan rambutnya sebagai wafroh (rambut tidak lebih telinga).  

Warna kulitnya putih kemerah-merahan. Dahinya luas. Keningnya panjang melengkung bagaikan dua busur panah yang terpisah. Di antara kedua-dua keningnya, ada urat yang kelihatan memerah ketika sedang marah.  

Hidung Rasulullah mancung. Di hujung hidungnya ada cahaya yang memancar sehinggakan orang yang melihatnya betul-betul akan menyangka bahawa hidung Baginda lebih mancung (daripada yang sebenarnya).

Janggutnya tebal, kedua-dua pipinya mulus, mulutnya lebar.  Giginya agak jarang, namun teratur rapi.  Bulu dadanya halus.  Lehernya indah, tegak dan kuat.

Bentuk tubuhnya sederhana, badannya berisi seimbang, perut dan dadanya sama rata.  Dadanya bidang, kedua-dua bahunya lebar dan tulang sendinya besar.  Bahagian badannya yang tidak ditumbuhi rambut kelihatan bersih bercahaya.

Dari pangkal leher sampai pusat, bulu yang tebal tumbuh seperti garisan.  Kedua-dua puting susu dan perutnya bersih.  Kedua-dua bahu dan dada bahagian atas berbulu halus.

Kedua-dua ruas tulang tangannya panjang, telapak kakinya lebar.  Kedua-dua telapak tangan dan kakinya terasa tebal. Jari jemarinya panjang, lekukan telapak kakinya (bahagian tengah) tidak menyentuh tanah.  Kedua-dua kakinya halus sehingga air tidak melekat di kulit kakinya.

Apabila Rasulullah berjalan, kakinya diangkat dengan kesungguhan.  Baginda melangkah dengan mantap dan berjalan dengan tenang dan tawaduk.  Jika Baginda berjalan, pergerakannya cepat seolah-olah Baginda sedang turun dari tempat yang tinggi.  Apabila dipanggil, Baginda akan memalingkan kedua-dua bahunya serentak.

Pandangan matanya terarah ke bawah.  Baginda menundukkan kepala menatap ke arah bumi lebih lama daripada memandang ke langit.

Apabila ada sahabat berjalan, Rasulullah akan berjalan di belakangnya.  Apabila bertemu dengan orang lain, Baginda yang akan terlebih dahulu memberi salam.”

Gaya Nabi Bercakap

Cucu Nabi berkata lagi, “Ceritakan kepadaku cara Rasulullah berbicara?”
Maka anak tiri Nabi menjawab, “Rasulullah seorang yang banyak memendam keresahan. Baginda selalu berfikir, sampai tidak sempat berehat. Baginda lebih banyak diam, tidak bercakap kosong tanpa keperluan. Bicara Baginda padat dan tepat. Percakapannya jelas, tidak berjela-jela, tidak pula kurang (sampai tidak difahami).  

Baginda bukan orang yang berhati kering, tidak juga orang yang suka memperlekehkan orang. Baginda akan membesar-besarkan nikmat Allah walaupun kecil sahaja. Tidak sekali-kali Baginda mencela mana-mana nikmat pun.

Hal keduniaan tidak menyebabkan Baginda marah, tidak pula Baginda marah kerana hal keduniaan. Namun apabila kebenaran dilanggar, tiada sesuatupun yang dapat meredakan kemarahan Baginda sehinggalah kebenaran itu dibela. Baginda tidak marah kerana diri sendiri, tidak pula membela diri sendiri.

Apabila hendak menunjuk pada sesuatu, Baginda akan tunjukkan dengan seluruh tangannya (bukan sekadar isyarat jari atau muncung mulut)…Apabila marah, Baginda akan memalingkan wajahnya, apabila suka Baginda pejamkan mata.

Paling besar ketawa Nabi setakat tersenyum sahaja sampai nampak gigi yang kelihatan manis sekali bagaikan butir-butir salji.

Hadis ini turut dirakam oleh Imam al-Tabarani dalam Mu ‘jam Kabir dan Imam al-Baihaqi dalam al-Nubuwwah. Bahkan dalam kitab al-Bidayah wa al-Nihayah juga, Imam Ibn Kathir muatkan.

Terima kasih kepada Hind bin Abu Halah, si anak tiri Nabi yang menyampaikan sifat-sifat bapa kesayangannya kepada kita.

Nabi mempunyai sekitar 14 orang anak tiri daripada empat orang isteri. Sayang sekali jika kita tidak mengenali mereka.