Kali ini kita akan menyoroti babak-babak akhir kehidupan cucu kesayangan Nabi ini. Bahagian ini saya kira lebih mempesona kerana ketika inilah ramalan Nabi tentang beliau menjadi kenyataan.

Abu Bakrah menceritakan: “aku pernah melihat Rasulullah berkhutbah di atas mimbar. Ketika itu Hasan bin Ali didukung di sisinya. Sekejap Hasan melihat kepada orang ramai, sekejap kepada Nabi. Kemudian Nabi bersabda: “Sesungguhnya anak kecil ini seorang tokoh (sayyid). Semoga Allah akan mendamaikan dua kumpulan besar orang Islam dengannya.” (Riwayat al-Bukhari)

Untuk menghayati peri pentingnya peranan beliau sebagai sayid, kita perlu memahami latar peristiwa yang berlaku pada saat itu. Bagaimanapun babak-babaknya panjang, rumit dan kerap kali menyebakkan hati. Sila baca tulisan-tulisan sahabat Nabi pada zaman Sayidina Umar, Ustman dan Ali untuk memahami secara lengkap. Di sini kita hanya dapat ringkaskan sebagaimana berikut:

Ayahnya menjadi khalifah

Selepas Sayidina Uthman terbunuh, Sayidina Ali menyanggupi untuk dibaiah sebagai khalifah di Madinah.. Pada ketika itu keadaan politik negara Islam sangat tidak stabil. Di hadapan sayidina Ali dua cabaran besar menanti;

  1. Mengukuhkan kerajaan dengan menyatupadukan ummah dan mengembalikan kestabilan dalam masyarakat yang agak goyah sejak kebelakangan itu.
  2.  Menegakkan keadilan buat keluarga Uthman dengan melancarkan siasatan dan menghukum mereka yang terlibat dalam pemberontakan berdarah tersebut.

Isu inilah yang menjadi titik punca kepada dua perang saudara yang berlaku selepas itu. Pertama tragedi Jamal yang menyaksikan tentera sayidina Ali bertempur dengan kumpulan Ummulmukminin Aisyah. Kedua tragedi Siffin yang menyaksikan pertumpahan darah antara tentera Sayidina Ali dengan tentera Sayidina Muawiyah. Hal ini kerana Sayidina Ali dilihat tidak proaktif dalam menegakkan keadilan bagi kes pembunuhan Sayidina Uthman. Walhal realitinya tidak semudah itu.

Apa kaitan dengan Sayidina Hasan? Sepanjang tempoh kritikal itu beliau tetap setia di sisi ayahandanya. Namun sebagai pembangkang yang menasihati. Boleh dikatakan dalam kebanyakan isu besar, Sayidina Hasan menyatakan ketidaksetujuan dengan keputusan yang bakal diambil ayahandanya.

Antaranya beliau tidak bersetuju rancangan ayahnya keluar menuntut baiah daripada Muawiyah, yang berakhir dengan tragedi Siffin. Sebelum itu, beliau juga tidak setuju ayahnya memindahkan pusat pemerintahan dari Madinah ke Kufah.

Dengan perpindahan itu, ayahandanya akan terpisah daripada kumpulan besar sahabat Nabi di Madinah. Sudahnya, tragedi Jamal berlaku yang menyaksikan dua orang tokoh besar sayidina Zubair bin al-Awwam dan Talhah bin Ubaidillah terkorban.

Mereka di pihak kumpulan Ummulmukminin Aisyah dari Madinah. Sayidina Zubair ialah sepupu Nabi yang Baginda gelarkan sendiri sebagai “hawari”ku. Hawari bermaksud penolong setia. Talhah pula Nabi digelarkan sebagai si syahid yang masih hidup. Hal ini kerana melihatkan kecacatan badannya akibat berperang membela Nabi. Kedua-duanya antara orang terawal beriman sejak di Makkah lagi. Kedua-duanya termasuk 10 sahabat yang dijamin syurga.

Dalam satu riwayat berkaitan tragedi Jamal dikisahkan bahawa Sayidina ali yang berada di belakang tentera menangis melihat keadaan di depan matanya. Saudara seagamanya saling berbunuhan.

Beliau berkata kepada anaknya: “Wahai Hasan, kalaulah aku mati sejak  20 tahun yang lalu!”

Sayidina Hasan membalas: “Wahai ayahku, Bukankah aku sudah larang ayah sejak awal-awal lagi.

Sayidina Ali menjawab kembali: “Wahai anakku, sungguh aku tidak terfikirpun keadaan akan jadi sebegini!” (Al-bidayah al-Nihayah)

Bahkan sejak awal-awal lagi, Sayidina Hasan tidak bersetuju ayahnya mengambil tanggungjawab sebagai khalifah selagi belum berbincang dengan gabenor di Syam yakni Sayidina Muawiyah dan gabernor Mesir iaitu Sayidina Amru bin al-As. Mereka berdua penjawat awam tertinggi pada zaman Sayidina Uthman. Kelihatannya Sayidina Hasan orangnya halus dan cermat. Perwatakannya lebih mirip dengan si datuk berbanding si ayah.

Menjadi Khalifah Kelima

Selepas ayahandanya dibunuh, masyarakat Iraq membaiah beliau sebagai khalifah pengganti. Bagaimanapun hanya beberapa bulan sahaja, sebelum dia menyerahkan khilafah kepada Sayidina Muawiyah. Maka tahun itu digelar tahun perpaduan.

Bukan cerita mudah tindakan beliau tersebut. Ada drama dan liku-likunya. Kita mudahkan begini. Sebagaimana ayahandanya, Sayidina Hasan juga dikelilingi oleh golongan jahat talam dua muka. Mereka ini sebenarnya kumpulan pemberontak yang membunuh Sayidina Uthman, kemudian menyelinap masuk dalam masyarakat Iraq yang mendukung khilafah Ali.

Atas lobi dan perencanaan mereka, maka terpaksalah sayidina Hasan mengetuai angkatan tentera yang dianggarkan berjumlah 40 ribu orang untuk menyerang Syam. Kononnya demi menuntut baiah untuk khalifah yang baharu. Sayidina Muawiah yang tidak bersetuju, menyiapkan angkatan sekuat itu hasil gabungannya dengan Sayidina Amru bin al-As dari Mesir.

Namun dalam perjalanan itu, Sayidina Hasan mengutus surat perdamaian kepada Muawiyah tanpa pengetahuan tenteranya. Inilah yang merintih kepada perbincangan senyap-senyap antara mereka berdua dan berkesudahan dengan perjanjian persefahaman. Dan khilafahpun bertukar tangan.

Tindakan beliau bukan kerana tersepit atau apa-apa sebab politik kecil lain. Sememangnya Sayidina Hasan secara peribadi menginginkan pendamaian sesama orang beriman. Selepas tragedi Jamal dan Siffin, sanggupkah lagi untuk melihat tragedi ketiga orang beriman saling berbunuhan?

Setelah itu, Umat Islam bersatu kembali. Misi pembukaan wilayah bersambung semula. Pencapaiannya setara, jika tidak lebih baik daripada yang pernah disaksikan pada zaman Sayidina Umar dan Uthman.

Para sahabat kembali berdakwah ke seluruh pelosok alam. Ummu Haram sampai meninggal dunia di pulau Cyprus. Abu Ayyub al-Ansari bermakam di Istanbul. Semuanya bermula dengan sepasang tangan pendamai yang kembali menautkan ukhuwah umat.

Sampai mati peduli ummah

Ini manaqib terhebat Sayidina Hasan. Satu ayat Allah berbunyi: “sesungguhnya pada kisah mereka ada pengajaran buat orang yang berakal.” (Yusuf 12: 111)

Maka kisah Sayidina Hasan usah dibiarkan sebagai sekadar bacaan kenangan. Pada hari ini kita diuji dengan babak-babak pergaduhan dan persengketaan sesama muslim di semua peringkat. Ayuh jika jadi pendamai. Bahkan Allah sendiri berpesan: “sekiranya dua kumpulan orang beriman saling bertelagah, maka damaikanlah antara kedua-duanya.” (al-hujurat 49: 9)

Sayidina Hasan benar-benar pendamai umat. Sebelum meninggal dunia,  beliau berwasiat agar dikebumikan setempat dengan datuknya jika diizinkan. Di rumah ummulmukminin Aisyah terletaknya kubur nabi, sayidina abu bakr dan umar.

Dalam wasiat itu juga beliau berpesan, jika dibimbangi berlaku pertelagahan maka kebumikan sahaja beliau di perkuburan Baqi di sebelah kubur ibundanya, Sayidatina Fatimah. Benar hampir berlaku pertumpahan darah apabila ada pihak yang menghalang. Bagaimanapun wasiatnya dibacakan kembali, maka keadaan bertukar reda. Semoga Allah meredai Sayidina Hasan, cucu Rasulullah.

Sumber:

Al-bidayah wa al-nihayah

Siyar a’lam al-nubala’