Alang-alang sampai pada zaman Sayidina Muawiyah, kita lajakkan ke zaman anak beliau pula.

Tempoh pemerintahannya sekitar empat tahun sahaja. Namun begitu membekas dalam sejarah umat Islam dek beberapa tragedi besar yang berlaku. Mari ikuti garis masa sahabat dalam tempoh tersebut.

60h

  • Rejab: Yazid bin Muawiyah menjadi khalifah.

Seluruh para sahabat berbaiah kepada beliau melainkan beberapa orang antaranya Husain bin Ali, cucu Nabi dan Abdullah bin Zubair bin al-Awwam, anak sepupu Nabi.

Wafat

  • Safwan bin Mu’attal.

Beliaulah sahabat yang dituduh berhubungan sulit dengan Ummulmukminin dalam peristiwa Ifk.

61H

  • Tragedi Karbala.

Sayidina Husain dan ahli keluarganya yang enggan berbaiah kepada Yazid membawa diri ke Kufah atas jemputan kumpulan yang ingin mendukung beliau. Lalu Yazid mengarahkan sekumpulan tentera bagi menuntut baiah daripada mereka. Tragedi berakhir dengan terbunuhnya Sayidina Husain.

-Wafat

  • Ummulmukminin Ummu Salamah.
  • Jabir bin ‘Atik bin Qais.

Ahli Badar. Pemegang bendera kaum Ansar pada hari pembukaan Makkah.

  • Hamzah bin Amru al-Aslami.

Menurut satu riwayat, beliaulah orang yang membawakan berita kepada Kaab bin Malik bahawa Allah menerima taubatnya. Lalu Kaab menghadiahinya pakaian.

  • Syaibah bin Uthman bin Abi Talhah.

Pemegang kunci Kaabah selepasnya ayahnya. Sehingga ke hari ini keturunannya yang digelar Bani Syaibah memegang kunci Kaabah.

  • Walid bin Uqbah bin Abi Mu’it. Saudara seibu Sayidina Uthman bin Affan.

62H

Wafat

  • Buraidah bin Husaib al-Aslami.

Ahli Badar. Tidak terlepas satupun peperangan besar bersama Nabi. Menyertai pembukaan Khurasan. Meninggal dunia di Marw (rujuk artikel Suatu Ketika Dahulu di ..)

  • Amru bin Hizam.

Sahabat muda. Pada usia 17 tahun Nabi sudah menghantarnya bertugas ke Najran.

  • Muslim bin Muawiyah al-Dailami.

Bekas tentera musyrik dalam perang Badar, Uhud dan Khandaq. Setelah memeluk Islam, beliau menyertai pembukaan Makkah dan Hunain.

  • Uqbah bin Nafi’.

Lahir pada zaman Nabi namun tidak sempat bersahabat dengan Baginda. Antara panglima hebat Muawiyah membuka kawasan di benua Afrika. Beliau mengasaskan kota Qairawan.

63H

Tragedi Hurrah.

Berlaku apabila ramai penduduk Madinah menarik baiah daripada Yazid. Ibn Umar menasihati mereka agar tidak berbuat demikian. Lantas Yazid mengutus sekumpulan tentera untuk menuntut baiah daripada mereka semula. Mereka enggan, penggempuran tidak dapat dielakkan.

Imam al-Zuhri menyatakan bahawa 700 sahabat muhajirin dan ansar terbunuh, antaranya Abdullah bin Hanzalah (bapanya dimandikan malaikat) dan Ma’qal bin Sinan.

Apa Sikap kita?

Kes pemimpin jahat lalu rakyat tidak puas hati lumrah kehidupan yang berlaku sepanjang zaman. Ibn Kathir mengulas tragedi ini dengan membawakan kata-kata penting berikut: “Janganlah sampai melaknat ayahnya atau mana-mana sahabat…Apabila ada pemimpin fasiq, tetap tidak boleh menarik taat setua terhadapnya hanya semata-mata kerana kefasiqannya menurut pendapat ulama yang paling benar.

Bahkan tidak boleh memberontak terhadapnya kerana tindakan itu menyebabkan fitnah, peperangan dan pertumpahan darah, perampasan harta, pemerkosaan wanita dan sebagainya. Setiap perkara ini membawakan kerosakan yang -kali ganda dahsyat daripada kefasiqannya, sebagaimana yang telah berlaku sepanjang sejarah hingga ke hari ini.” (Al-Bidayah wa al-Nihayah)

64H

Tragedi Pengepungan Makkah. 

Tentera yang menggempur Madinah menuju ke Makkah pula. Kali ini untuk menuntut baiah daripada Ibn Zubair. Setelah enggan, sekitar masjidilharam dikepung dan diserang dari luar dengan manjanik sampaikan Kaabah rosak. Tragedi berakhir dengan tentera menghentikan serangan setelah mendapat berita kematian Yazid.

-Yazid meninggal dunia.