Sayidina Ustman ialah khulafa al-rasyidin yang paling lama. 12 tahun. Berikut rangkuman kronologi keadaan para sahabat pada zaman beliau. Sila baca juga tulisan bertajuk ‘Sayidina Ustman Mangsa Komplot Pengasas Syiah’ bagi melengkapkan kefahaman.

24 hijrah

  • Perlantikan Sayidina Uthman.
  • Abu Musa al-Asyari membuka semula Rayy, Iran
  • Wafat: Suraqah bin Malik, orang yang berjaya mengejar Nabi semasa hijrah ke Madinah.

25 hijrah

  • Abdullah bin Saad bin Abi Sarh meneruskan misi pembukaan bumi Afrika atas restu Amru bin al-Ash di Mesir. Abdullah merupakan antara penulis wahyu, pernah murtad kemudian diampunkan Nabi.

26 hijrah

  • Peluasan Masjidilharam.
  • Uthman bin Abi al-As membuka kota Sabur, di Iran. Semasa hayat Nabi, beliau menjadi wakil Baginda di Taif, negeri kelahirannya.

27 hijrah

  • Khalifah Uthman menggantikan Amru bin al-Ash dengan Abdullah bin Saad bin Abi Sarh sebagai penguasa Mesir. Bumi Afrika menerima Islam di bawah usaha beliau. Kemudian mara membuka Andalus.
  • Peperangan menentang puak Barbar. Abdullah bin Umar dan Abdullah bin Zubair turut serta.

28 hijrah

  • Pembukaan Cyprus oleh Muawiyah bin Abu Sufyan. Ubadah bin Samit dan isterinya Ummu Haram binti Milhan turut serta. Ummu Haram meninggal dunia di sana.

29 hijrah

  • Khalifah meluaskan Masjid Nabawi.
  • ‘Amir bin Abdullah menggantikan Abu Musa al-Asy‘ari sebagai penguasa di Basrah, Iraq hari ini.

30 Hijrah

  • Said bin al-Ash membuka Tabaristan. Kempen ketenteraannya turut disertai oleh ramai sahabat masyhur antaranya Hasan dan Husin, Huzaifah al-Yaman dan empat orang Abdullah; Ibn Abbas, Ibn Umar, Ibn Zubair dan Ibn Amru bin al-As.
  • Cincin Nabi hilang selama-lamanya. Terjatuh dari tangan sayidina Uthman ke dalam telaga Aris, dua batu dari Madinah. Usaha mencari digiatkan namun tidak diketemui. Akhirnya khalifah membuat cincin baharu dengan tulisan cop yang sama “Muhammad Rasulullah”. Namun cincin itu juga hilang dalam tragedi pembunuhan beliau.

Secara tradisi cincin Nabi diwarisi khalifah sesudah Baginda; Abu Bakar, Umar kemudian Uthman.

  • Terjadi pertelingkahan antara Muawiyah dan Abu Zar di Syam. Ada beberapa perkara Abu Zar tidak berpuas hati dengan Muawiyah. Kemudian perbalahan mereka membawa ke Madinah. Akhirnya Abu Zar sendiri membawa diri ke Rabzah.
  • Wafat: Ubay bin Kaab, Hatib bin Abi Balta‘ah; sahabat yang terlanjur membocorkan rahsia Nabi hendak membuka Makkah dan Tufail bin al-Harith bin Abdul Muttalib, sepupu Nabi.

31 hijrah

  • Banyak tercetus peperangan di lautan antara Muawiyah dan tentera Rom.  Pembukaan Arminiah oleh Habib bin Maslamah

32 hijrah

  • Muawiyah berperang dengan tentera Rom bahkan beliau sudah sampai ke selat Kostantinopel, Ibu kota empayar Rom. Selat Bosphorus pada hari ini. Beliau sendiri mengetuai misi dengan ditemani isteri Atikah.
  • Wafat: Abbas bin Abdul Muttalib, bapa saudara Nabi, Abdullah bin Mas‘ud, khadam Nabi di Makkah, Abdul Rahman bin Auf dan Abu Zar al-Ghifari

33 hijrah

  • Uthman memindahkan sekumpulan rakyat dari Basrah dan Kufah ke Syam. Mereka giat berkempen memburukkan khalifah sehingga menimbulkan kekacauan. Bagaimanapun khalifah enggan mengambil pendekatan keras. Bahkan beliau mengarahkan Muawiyah agar melayan mereka baik-baik.

34 Hijrah

  • Pergerakan menjatuhkan khalifah semakin menjadi-jadi. Untuk itu Sayidina Uthman memanggil satu mesyuarat yang dihadiri oleh semua amir; 

Muawiyah amir Syam, Amru bin al-As amir  Mesir, Abdullah bin Saad bin Abi Sarh amir Marghib, Saad bin Al-Ash amir kufah dan Abdullah bin ‘Amir amir Basrah.

Abdullah bin Amir menyarankan agar mereka dikerahkan menjadi tentera. Muawiyah pula menyarankan agar abaikan mereka sahaja kerana mereka sangat minoriti manakala Said bin al-Ash berpandangan agar mereka dihukum.

35 Hijrah

  • Tragedi Pembunuhan Sayidina Uthman

Sumber: Al-Bidayah wa al-Nihayah