Dengan berat hati saya memaparkan garis masa para sahabat pada zaman khilafah Sayidina Ali. Pemerintahan beliau berlangsung sekitar lebih kurang lima tahun sahaja namun dilalui dengan penuh tragis. Sebelum melanjutkan pembacaan, dinasihatkan agar saudara pembaca tidak bersangka buruk terhadap mana-mana sahabat yang terlibat.

35 Hijriah

Kebanyakan para sahabat yang berada di Madinah membaiah beliau. Beberapa orang sahabat yang berada di luar Madinah seperti Muawiyah bin Abu Sufyan (berada di Syam) dan Amru bin al-As (berada di Mesir) tidak ingin berbaiah lagi. Mereka mendesak Sayidina Ali menghukum pemberontak yang membunuh Sayidian Uthman terlebih dahulu.

  • Sayidina Ali memindahkan pusat pentadbiran ke Kufah.

………………………..

36 Hijriah

  • Delegasi sekumpulan sahabat Nabi dan umat Islam Madinah berangkat ke Kufah.

Mereka ingin mengemukakan tuntutan supaya khalifah Ali melaksanakan hukuman terhadap pemberontak. Delegasi ini diterajui oleh Ummukminin Aisyah, Talhah bin Ubaidillah, Zubair bin al-Awwam dan beberapa orang sahabat lagi. Pertemuan berhasil mencapai persefahaman.

  • Perang Jamal tercetus.

Kumpulan pembunuh Sayidina Uthman yang berselindung di pihak tentera kerajaan melancarkan serangan mengejut. Kekeliruan berlaku, peperangan tidak dapat dihentikan lagi sehingga tentera kerajaan menguasai pertempuran.  

Talhah dan Zubair terkorban. Sayidian Ali menghantar pulang Sayidatina Aisyah ke Madinah.

  • Sayidina Ali memanggil Muawiyah di Syam menghadap beliau.

Jarir bin Abdullah yang menjadi pegawai utusan. Bagaimanapun Muawiyah enggan kerana tetap dengan pendirian asalnya.

  • Sayidina Ali menggerakkan tentera ke Syam.

Kedua-dua pihak bertemu di tempat bernama Siffin.  Perbincangan berlangsung tetapi gagal menemui persefahaman.

Berlaku di hujung tahun hingga masuk ke tahun berikutnya.

……………………………………………….

37 hijrah

  • Perang Siffin berterusan.

Peperangan berlajutan melebihi 100 hari menurut satu riwayat. Dalam masa yang sama, kedua-dua belah pihak berusaha mengadakan perbincangan damai.

  • Peristiwa tahkim.

Sidang damai kemuncak antara kedua-dua belah pihak. Pihak Ali diwakili Abu Musa al-Asy’ari manakala Amru bin al-As mewakili pihak Muawiyah. Perbincangan ini juga gagal sehingga peperangan bersambung.

  • Muncul kumpulan Khawarij.

Mereka pada asalnya ialah tentera Sayidina Ali. Mereka bertindak membentuk kumpulan sendiri dengan idea kedua-dua pemimpin; Ali dan Muawiyah ialah pesalah yang mesti dihukum bunuh.

  • Peperangan Siffin berakhir.

Tentera Muawiyah mendominasi peperangan. Sayidina Ali kembali ke Kufah, gagal membuatkan Muawiyah berbaiah kepadanya.

Kini wilayah Islam mempunyai tiga kepimpinan. Muawiyah di Syam, Amru bin al-As di Mesir dan Ali bin Abu Talib di Kufah dan Hijaz. Khalifah yang sah sudah tentu Sayidina Ali.

  • Sistem titik dalam mushaf.

Sayidina Ali mengarahkan Abu  Aswad al-Du’ali menggagaskan satu sistem membaca al-Quran bagi memudahkan orang ramai. Pada masa itu tulisan ayat al-Quran tiada titik mahupun baris seperti yang kita ada pada hari ini.

  • Sahabat yang wafat pada tahun ini:
  • Khabbab bin Arat
  • Khuzaimah bin Tsabit
  • Safinah, hambaNabi.
  • Ammar bin Yasir. (Terbunuh dalam perang Siffin)

………………………..

38 Hijriah

  • Peperangan Nahrawan.

Kumpulan Khawarij semakin melampau. Mereka memberontak di sana sini dengan membunuh orang awam yang tidak bersetuju dengan mereka. Lalu Sayidina Ali menggerakkan tentera menghapuskan mereka. Berlaku di Nahrawan, Iraq.

  • Sahabat yang meninggal pada tahun ini;
  • Asma’ binti Umais.
  • Suhaib bin Sinan al-Rumi.
  • Sahl bin Hunaif al-Ausi.
  • Muhammad bin Abu Bakar al-Siddiq.

………………………………….

39 Hijriah

– Kedua-dua belah pihak masing-masing membina pengaruh. Dalam masa yang sama, saling berutus surat untuk usaha damai. Menurut Ibn Ishak, ada satu surat daripada Muawiyah kepada Ali: “sesungguhnya umat masih saling berbunuhan. Aku cadangkan, Iraq untukmu dan Syam untukku.” Ali menyetujuinya.

-Ummulmukminin Maimunah meninggal dunia.

………………………………….

40 Hijriah

  • 17 Ramadan- Sayidina Ali ditikam.

 Ibn Muljam, wakil puak Khawarij menikam beliau denga pisau beracun sewaktu hendak solat Subuh. Adapun perencanaan serentak mereka untuk membunuh Muawiyah dan Amru bin al-As gagal.

  • 21 Ramadan- Sayidina Ali meninggal dunia.
  • Hasan bin Ali dibaiah sebagai khalifah.

……………………………………………………………………

41 Hijriah (Tahun penyatuan)

  • Sayidina Hasan menyerahkan kepimpinan kepada Muawiyah.

Hal ini terjadi selepas enam hingga lapan bulan memegang khilafah. Hasan dan semua sanak keluarga kembali ke Madinah.

Untuk memantapkan kefahaman, sila baca juga tulisan;

  • Memahami Konflik Pertelingkahan Sayidina Ali-Muawiyah
  • Tragedi Pertelingkahan Sahabat; Ulang Kaji Pantas