Sejujurnya saya tidak seronok untuk mengangkat isu ini. Namun umat wajib tahu hal ini dengan sebetulnya. Hal ini kerana babak ini yang paling galak dimanipulasikan Syiah. Tidak keterlaluan kita katakan bahawa babak ini modal paling berjaya mereka.

Syiah “Merayakan” Hari Kematian Husain

Ramai sejarawan berpendapat bahawa Sayidina Husain terbunuh pada 10 Muharam tahun 61H. Peristiwa ini disebut sebagai tragedi Karbala sempena nama tempat peristiwa berdarah ini berlaku.

Berlalunya masa, penganut Syiah menjalankan upacara memperingati tragedi ini saban tahun. Tiba pada harinya, mereka akan membacakan semula sejarah tragedi (versi mereka) lalu meratapinya. Pelbagai ragam ratapan mereka. Yang perempuan menangis, meraung-raung dan memukul badan dan kepala mereka. Kaum lelaki pula ada yang memukul muka dan badan mereka sampai berdarah-darah dengan pelbagai cara. Kononnya itulah bukti sayang kepada cucu Nabi.

Adakah ini agama Islam? Sekali-kali tidak! Bahkan Nabi pernah memberi amaran: “Bukan dalam kalangan kami orang yang menampar-nampar pipi, mengoyakkan baju.” (Riwayat al-Bukhari)

Sayidina Husain cucu kesayangan Nabi. Sudah tentu setiap orang beriman seharusnya berasa sedih atas tragedi yang menimpa. Bagaimanapun tidaklah sampai meratap. Dalam Islam, meratapi kematian biar siapa pun si mati adalah haram.

Dalam hal ini, ada dua kesalahan Syiah. Pertama, mereka menyambut hari Asyura dengan majlis ratapan. Ibn Rejab pernah mengulas: “Adapun mengadakan majlis memperingati kematian sebagaimana yang dilakukan Rafidah demi memperingati pembunuhan Husain bin Ali, maka itu perbuatan orang yang sia-sia sahaja amalan mereka di dunia namun mereka perasan sedang melakukan kebaikan.

Allah dan Rasul-Nya tidak pernah menyuruh mengadakan majlis memperingati hari tragedi para nabi mahupun kematian mereka. Lalu apa lagi dengan manusia yang lebih rendah daripada mereka?” (Lataif al-Maarif)

Majlis Memperingati Kematian

Cantik sekali ulasan Ibn Kathir dalam hal ini: “Setiap Muslim seharusnya sedih atas pembunuhan Husain kerana beliau antara tokoh umat Islam, ulama, sahabat dan anak kepada anak perempuan Rasulullah bahkan anak perempuan Baginda yang terbaik. Beliau seorang abid dan dermawan.

Walau bagaimanapun perkara ini tetap tidak mewajarkan perbuatan menunjukkan rasa pilu dan sedih yang dilakukan segelintir puak. Boleh jadi ramai yang melakukannya secara buat-buat sahaja dan untuk menunjuk-nunjuk.

Walhal ayahnya insan yang lebih afdal daripadanya juga dibunuh. Namun tidak pula mereka mengadakan hari sambutan memperingati pembunuhannya seperti mana hari sambutan memperingati pembunuhan Husain. Tambahan pula ayahnya dibunuh pada hari Jumaat dalam perjalanan untuk solat Subuh di masjid, pada 17 Ramadan tahun 40H.

Begitu juga Uthman lebih afdal daripada Ali menurut Ahli Sunnah wal Jamaah. Beliau dibunuh semasa dikepung rumahnya pada hari Tasyrik bulan Zulhijah tahun 36H. Beliau dipancung dan dicincang! Namun tidak pula orang mengadakan sambutan memperingati pembunuhannya.

Begitu juga Umar. Beliau lebih afdal daripada Uthman dan Ali. Dibunuh saat sedang solat Subuh di mihrab, sedang membaca al-Quran. Namun tidak pula orang mengadakan sambutan memperingati pembunuhannya.

Begitu juga al-Siddiq yang lebih afdal daripada beliau tetapi tidak pula orang merayakan hari kematiannya.

Dan Rasulullah, penghulu sekalian anak Adam di dunia dan akhirat. Allah menjemput Baginda sebagaimana nabi-nabi sebelum Baginda mati tetapi tidak ada seorang pun yang mengadakan sambutan hari memperingati kematian Baginda.” (Al-Bidayah wa al-Nihayah)

Memanipulasi Sejarah

Kita katakan ada dua kesalahan dahsyat Syiah berkaitan hal ini. Yang kedua ialah kesalahan mereka memanipulasikan sejarah tragedi berdarah ini. Mereka mendakwa khalifah Yazid bin Abu Sufyan yang membunuhnya. Mereka juga melihat para sahabat Nabi yang lain zalim kerana tidak membela cucu Nabi.

Bahkan sebelum itu lagi, mereka marah sahabat Nabi telah menafikan hak Sayidina Ali untuk menjadi khalifah selepas kewafatan Baginda. Sebab itu mereka berdendam sangat dengan Sayidina Abu Bakar, Umar dan Uthman! Semoga Allah memelihara anak cucu kita daripada terpengaruh dengan diayah Syiah.

Pendirian Kita

Apa pendirian yang sepatutnya kita pegang dalam isu ini? Secara ringkasnya boleh dirumuskan kepada tiga kelompok sebagaimana berikut:

Pendirian 1 – Tepat tindakan membunuh Husain kerana beliau memberontak khalifah yang sah. Ini pegangan sebahagian orang di pihak kerajaan Umayyah.

Pendirian 2  – Husain pemimpin yang wajib ditaati. Seharusnya dilantik sebagai khalifah. Orang yang menentangnya ialah penjahat. Ini pegangan Syiah.

Pendirian 3 – Husain terbunuh secara zalim kerana beliau tidak memberontak. Walau bagaimanapun beliau bukannya pemimpin yang wajib ditaati. Ini pendirian kita semua seharusnya.

Sumber

  • Ma‘rifah al-Sahabah.
  • Al-Bidayah wa al-Nihayah.
  • Tarikh Dimasyq.

Sumber

  • Marifah al-Sahabah.
  • Al-Bidayah wa al-Nihayah.
  • Tarikh Dimasyq.