Dengan pelantikan anak sendiri, sah Muawiyah memang gila kuasa! Sebentar, usah termakan diayah Syiah. Para sejarawan silam seperti al-Tabari, Ibn Kathir hinggakan Ibn Khaldun tidak melihat begitu.

Persoalan ini memerlukan ruang tersendiri, namun dalam kesempatan ini mari kita mari kita melihatnya berdasarkan fakta sejarah berikut:

  1. Bukan secara mengejut. Sebaliknya terlebih dahulu Muawiyah sudah membincangkannya dengan beberapa orang tokoh sahabat dan gabenornya sehingga mereka setuju. Kemudian baru dibaiah oleh majoriti sahabat dan umat.
  • Mencegah kemungkinan fitnah perpecahan. Muawiyah melihat Bani Umayyah dan pendukungnya di Syam tentu tidak akan reda jika khilafah diserahkan kepada sembarangan orang, apa lagi kepada orang luar yang tidak pernah terlibat dalam pentadbiran. Ibn Khaldun dalam Mukaddimahnya mengulas: “Muawiyah melantik Yazid kerana khuatir rosaknya perpaduan.”
  • Pentadbiran semakin kompleks. Pada masa itu, khilafah merangkumi wilayah yang sangat luas lalu menuntut sistem pengurusan berkesan melibatkan ketenteraan, keberkesanan komunikasi dengan gabenor-gabenor di serata tempat, hubungan dengan kerajaan luar dan sebagainya. Khalifah berikutnya mestilah orang yang biasa dengan selok belok ini.

Mengapa Husain enggan berbaiah

Isu ini juga memerlukan huraian panjang. Bagaimanapun secara kasar mari kita melihat isu dari sorotan sejarah.

Sejak awal, Sayidina Husain tidak pernah bersetuju dengan tindakan abangnya menyerahkan khilafah kepada Muawiyah. Sudah tentu beliau ada alasan tersendiri, apa lagi mengingatkan pengalaman perit yang dilalui di sisi ayahnya.

Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah menyebut, apabila abangnya berhasrat ingin menyerahkan khilafah kepada Muawiyah demi menyatukan umat, beliau menentang keras.

Lantas abangnya berkata: “Demi Allah, aku terfikir untuk mengurung sahaja kamu di rumah, dikunci pintu sehingga aku selesai usaha ini barulah aku akan keluarkan kamu!”

Ketidakpuasan hatinya dalam keputusan abangnya bagaimanapun terubat sepanjang pemerintahan Muawiyah. Hal ini kerana khalifah begitu memuliakan mereka, selayaknya mereka sebagai ahli keluarga Nabi.

Bagaimanapun ketidakpuasan hati itu kembali berdenyut tatkala mengetahui Yazid yang dilantik menjadi khalifah. Beliau melihat bahawa perlantikan khalifah mesti secara syura, bukan warisan. Apa lagi memandangkan keperibadian Yazid yang tidak sesoleh ayahnya.

Pandangan beliau didukung oleh beberapa orang yang seangkatan antaranya Abdullah bin Zubair dan Abdul Rahman bin Abu Bakar al-Siddiq. Maka mereka enggan berbaiah kepada Yazid. Tindakan mereka ditegur oleh beberapa orang sahabat antaranya Ibn Abbas dan Ibn Umar. Ibn Umar pernah berpesan kepada Husain dan Ibn Zubair: “Takutilah Allah. Jangan kamu berdua berpecah daripada kesatuan orang Islam.”  (al-Bidayah wa al-Nihayah)