Rentetan ini berlangsung antara tahun 60 dan 61 hijrah.

  • Khalifah Muawiyah menyatakan hasrat untuk mengangkat Yazid sebagai khalifah selepasnya.

Selain Sayidina Husain, ramai sahabat tidak bersetuju pada mulanya termasuk Ibn Umar dan Ibn Abbas

  • Rejab, 60H. Muawiyah wafat. Yazid menjadi Khalifah di Damsyik. Kecuali Sayidina Husain dan Ibn Zubair, semua sahabat Nabi berbaiah termasuk Ibn Umar dan Ibn Abbas.
  • Yazid memerintahkan pegawai-pegawai mendapatkan baiah daripada mereka. Mereka berdua keluar dari Madinah pergi ke Makkah.
  • Sekumpulan orang di Iraq mendapat tahu perkara ini. Mereka mengutus surat mengatakan hasrat untuk membaiah Husain sebagai khalifah yang baharu.
  • Husain mengutus anak saudaranya, Muslim bin Uqail ke Iraq dahulu untuk melihat keadaan. Muslim melaporkan bahawa orang Iraq benar-benar serius. Dan sudah mengaturkan majlis baiah akan berlangsung di rumah Hani’ bin Urwah.
  • Husain dan ahli keluarganya bergerak ke Kufah dari Makkah. Para sahabat menghalang pemergian beliau tetapi tidak berjaya.
  • Khalifah Yazid mendapat tahu perkembangan ini. Dia menghantar tentera yang diketuai Ubaidillah bin Ziyad ke Basrah (ibu kota Iraq pada masa itu) untuk menghalang kemungkinan pemberontakan berlaku.
  • Ubaidillah bin Ziyad mengepung kawasan Muslim bin Uqail berada. Dalam masa yang sama sekumpulan askarnya pergi untuk menyekat rombongan Sayidina Husain daripada memasuki Iraq.
  • Pada awalnya beribu-ribu orang sanggup melindungi Muslim bin Uqail. Setelah melihat kekuatan bala tentera dari Syam, mereka gerun dan melarikan diri. Akhirnya tinggal Muslim seorang diri. Akhirnya beliau ditangkap.
  • Muslim meminta izin untuk mengutus surat kepada Husain. Dia menulis: “Pulanglah dengan keluargamu semula. Jangan tertipu dengan orang Kufah. Mereka menipumu. Mereka telah menipuku. Orang penipu jangan diendahkan!” Muslim akhirnya dihukum bunuh atas kesalahan memberontak.
  • Husain menerima surat kiriman Muslim. Tiba di Karbala, beliau bertembung dengan askar Ubaidillah yang dihantar. Husain meminta agar mereka dibiarkan pulang kembali ke Makkah. Bagaimanapun askar enggan. Mereka ingin menawan dan menghadapnya ke Ubaidillah dahulu. Berlaku salah faham hingga berperang.
  • Sayidina Husain dan ramai ahli keluarga lelaki terbunuh. Askar menghantar kepala Husain kepada Ubaidillah di Kufah. Ubaidillah melaporkan kepada Khalifah di Syam.
  • Tatkala menerima laporan, Yazid menangis. Dia berkata: “Aku lebih suka mendapatkan ketaatan kamu tanpa perlu membunuh Husain. Celaka Ibn Marjanah!” Merujuk kepada Ubaidillah bin Ziyad.
  • Ahli rombongan perempuan dan orang yang masih tinggal diiring pulang ke Madinah. Dikatakan sebelum itu mereka dibawa menghadap khalifah Yazid di Syam. Mereka dilayan baik oleh khalifah.

Sumber: Al-bidayah wa al-Nihayah.

Siapa lagi Mangsa Tragedi Karbala?

Catatan
1 Sayidina Husain Bin Ali Bin
Abi Talib
2Uqail Bin Ali Bin
Abi Talib
Saudara-suadara sebapa
Sayidina Husain
3Abu Bakar Bin Ali Bin
Abi Talib
Saudara-suadara sebapa
Sayidina Husain
4Muhammad Bin Ali Bin
Abi Talib
Saudara-suadara sebapa
Sayidina Husain
5Uthman Bin Ali Bin
Abi Talib
Saudara-suadara sebapa
Sayidina Husain
6Jaafar Bin Ali Bin
Abi Talib
Saudara-suadara sebapa
Sayidina Husain
7Abbas Bin Ali Bin
Abi Talib
Saudara-suadara sebapa
Sayidina Husain
8Abu BakarBin Husain bin AliAnak-anak beliau
9Umar Bin Husain bin Ali Anak-anak beliau
10Uthman Bin Husain bin Ali Anak-anak beliau
11Ali al-Akbar Bin Husain bin Ali Anak-anak beliau
12Abdullah Bin Husain bin Ali Anak-anak beliau
13Abu Bakar Bin Husain bin Ali Anak-anak beliau
14UmarBin Hasan bin AliAnak-anak saudara beliau
15Abdullah Bin Hasan bin Ali Anak-anak saudara beliau
16Al-Qasim Bin Hasan bin Ali Anak-anak saudara beliau
17JaafarBin Uqail bin Ali Anak-anak saudara beliau
18Abdullah Bin Uqail bin Ali Anak-anak saudara beliau
19Abdul Rahman Bin Uqail bin Ali Anak-anak saudara beliau
20AbdullahBin Muslim bin UqailCucu saudara beliau
21AunBin Jaafar bin Abi TalibSepupu beliau
22Muhammad Bin Jaafar bin Abi Talib Sepupu beliau

Jangan ke Kufah!

Mengapa Sayidina Husain tetap tegas tidak mahu berbaiah dengan khalifah Yazid? Mengapa pula para sahabat yang lain boleh berbaiah? Untuk memahami latar belakang isu ini, sila rujuk kembali tulisan Sahabat pada zaman Sayidina Ali dan Sayidina Hasan Pendamai Umat.

Enggan berbaiah itu satu isu. Pergi ke Kufah atas jemputan golongan yang ingin membela kononnya pula perkara yang lain. Para sahabat sudah masak dengan perangai orang di sana berdasarkan pengalaman sebelum ini pada zaman Sayidina Ali. Maka bukan sedikit sahabat Nabi yang cuba menghalang beliau ke Kufah.

Antaranya Abdullah bin Umar dan Abdullah bin Abbas yang sama pandangannya dengan Sayidina Husain tidak bersetuju dengan pelantikan Yazid pada peringkat awal. Begitu juga Abdullah bin Zubair yang tetap enggan berbaiah seperti beliau. Bagaimanapun tentang hasrat Husain untuk ke Kufah, beliau tidak bersetuju.

Selain mereka bertiga, antara sahabat lain ialah Abdullah bin Amru bin al-‘As, Abu Said al-Khudri, bahkan saudaranya Muhammad al-Hanafiah sendiri. Berikut antara catatannya:

Abdullah bin Abbas berkata: “Jika tidak kerana terfikirkan orang akan mencela kita, pasti aku sudah pegang kepalamu, tidak biarkan engkau pergi!”

Abdullah bin Zubair pula berkata: “Kamu hendak ke mana? Hendak pergi ke puak yang membunuh ayahmu dan mengutuk abangmu? Janganlah pergi!”

Abu Said al-Khudri pula berkata: “Janganlah kamu pergi kepada mereka. Sungguh aku pernah mendengar ayahmu pernah berkata tentang Kufah: ‘Demi Allah aku sudah bosan dengan mereka, aku sudah benci dengan mereka. Mereka juga sudah bosan dan benci denganku.

Mereka tidak punya sikap mengotakan janji langsung. Demi Allah, mereka tiada keikhlasan dan keazaman untuk buat sesuatu. Mereka juga tidak tahan dengan pedang (berperang)!’”

Ibn Umar pula menggunakan pelbagai cara untuk memujuk. Antaranya meminta orang Kufah yang konon hendak membela menghantar surat dahulu. Beliau juga sempat menghimbau kenangan bersama Nabi.

Selepas tidak berjaya memujuk, Ibn Umar memeluk Sayidina Husain sambil menangis. Beliau berdoa: “Aku serahkanmu dalam jagaan Allah daripada puak pembunuh.”

Akhirnya terjadilah apa yang terjadi. Tidak nampak pun batang hidung puak yang kononnya mahu membela Sayidina Husain.