“Jahatnya Sayidina Uthman! Dia pernah melarikan diri semasa Perang Uhud. Sebelum itu dia tidak menyertai Perang Badar. Selepas itu pula dia tidak terlibat dalam Baiatul Ridwan. Ini fakta!”

Benarkan?

Dahulu ada seorang lelaki menunaikan haji. Kemudian dia melihat sekumpulan manusia duduk berkumpul. “Siapa yang duduk-duduk itu?” Dia bertanya.

“Mereka itulah orang Quraisy.”

“Siapa syeikh itu?”

“Itulah Ibn Umar!”

Lalu lelaki itu mendekati tokoh ulama sahabat itu, anak kepada Sayidina Umar al-Khattab.

“Aku hendak bertanyakan sesuatu…dan aku ingatkan tuan demi menjaga kesucian Baitullah ini! Adakah tuan maklum bahawa Uthman bin Affan lari daripada perang semasa Uhud?”

“Ya”, jawab Ibn Umar.

“Maka tuan tahu juga bahawa dia tidak ikut serta dalam perang Badar?”

“Ya.”

“Tuan juga tahu bahawa dia juga tidak terlibat dalam Baiatul Ridwan?”

“Ya.”

Maka lelaki itupun bertakbir. (Riwayat al-Bukhari)

Gembira.

Manipulasi

Memanipulasi kata-kata atau fakta ialah tradisi musuh Allah dan Rasul sejak dahulu. Demikianlah perangai Yahudi. Apabila Allah mengarahkan menyebut hittah semasa memasuki Baitulmuqaddis, mereka menyebut hintah atau hubbah.

Hittah bermaksud keampunan. Hintah atau hubbah pula bermaksud gandum. Allah mengarahkan kaum Nabi Musa meminta keampunan, sebaliknya mereka lebih menginginkan makanan! Rujuk tafsir ayat 58 dan 59, Surah al-Baqarah.

Perangai itu diwarisi generasi Yahudi Madinah. Tatkala orang beriman mengucapkan assalamualaikum kepada Nabi, mereka mengucapkan assamualaikum; 

Banyak ketika, hakikat tidak sebagaimana yang tersurat. Benar, faktanya menyebut sekian tetapi penjelasannya dimanipulasikan 360 darjah. Cara sebegini lebih berkesan daripada mereka-reka auta menjadi fakta. Golongan sasaran lebih termakan.

Faktanya, Rasulullah mempunyai ramai isteri, lebih daripada empat orang yang disyariatkan. Lalu orientalis pun merumuskan bahawa Rasulullah seorang yang kuat seks.

Faktanya, orang Islam beribadah menghadap ke Kaabah. Lalu orang musyrik mendakwa Muslim pun menyembah batu.

Faktanya, Sayidina Uthman melantik beberapa orang saudara terdekat sebagai menterinya. Namun adakah bermakna beliau khalifah yang zalim sebagaimana dakwaan Syiah?

Syiah

Sayidina Uthman menjadi khalifah sekitar 12 tahun. Di sekolah dahulu saya diajar bahawa kononnya enam tahun pertama, pemerintahan beliau penuh keadilan. Namun semakin merosot pada enam tahun terakhir.

Banyak tindakan dan polisi yang beliau laksanakan menyebabkan rakyat tidak berpuas hati. Antaranya beliau:

  1. Membuat bidaah satukan mashaf al-Quran dan membakar mashaf-mashaf lain.
  2. Membuat bidaah azan kedua solat Jumaat.
  3. Menjadikan padang ragut awam untuk unta khalifah sahaja.
  4. Buang negeri Abu Zar ke Rabzah selepas beliau membangkang Muawiyah.
  5. “Menghapuskan sunnah” solat qasar semasa musafir. Beliau solat penuh di Makkah semasa menunaikan haji.
  6. Mengamalkan kronisme. Beliau melantik Muawiyah bin Abu Sufyan, Abdullah bin Amir dan Marwan bin Hakam.
  7. Melantik al-Walid bin Uqbah yang dituduh fasik kerana meminum arak.
  8. Mengamalkan nepotisme. Khalifah kerap memberikan hadiah kepada sanak saudara sendiri. Antaranya beliau pernah memberi satu perlima ghanimah kepada Marwan bin al-Hakam hasil kejayaan misi pembukaan wilayah Afrika.

Segala yang didakwa ini memang fakta sejarah secara tersurat. Namun adakah hakikat seperti yang tersurat?

Akhirnya ketidakpuasan hati ini melahirkan pemberontakan rakyat, kononnya. Sejarah merakamkan tiga kumpulan dari Mesir, Kufah dan Basrah bergabung lalu menuju ke Madinah demi menuntut keadilan. Kesudahannya, mereka berjaya membunuh menantu Rasulullah!

Sedar atau tidak kumpulan pemberontak yang sama itulah kelak membentuk gerakan politik Syiah. Dalangnya ialah Abdullah bin Sabak. Beliaulah yang memulakan kempen benci khalifah Uthman di Mesir. Strategi serampang dua mata yang dia gunakan:

  1. Memburukkan kepimpinan khalifah Uthman dengan pelbagai diayah (seperti senarai di atas).
  2. Mencadangkan kepimpinan Sayidina Ali sebagai khalifah yang baharu.

Ibn Taimiyah dalam Fatawanya mengulas: “Orang pertama yang mereka-reka kepercayaan Sayidina Ali berstatus maksum dan dia sepatutnya menjadi khalifah menurut nas ialah kepala golongan munafik itu; Abdullah bin Sabak. Dia sebenarnya Yahudi yang menonjolkan keislaman demi misi merosakkan agama sebagaimana Paul merosakkan agama Nasrani.”

Hari ini

Masa berlalu, asalnya propaganda akhirnya menjadi kepercayaan. Kebencian Syiah terhadap menantu Nabi ini tidak kurang hebatnya seperti kebencian mereka terhadap dua orang mentua Baginda. Ulama rujukan mereka al-Jaza’iri berkata dalam al-Anwar al-Nikmaniyah: “Sebenarnya Uthman pada zaman Nabi antara orang yang menonjolkan Islam tetapi menyembunyikan kemunafikan!”

Dalam kitab Nafahat al-Lahut pula disebut: “Sesungguhnya sesiapa yang tiada dalam hatinya rasa permusuhan terhadap Uthman, tidak menghalalkan maruahnya, tidak beriktikad bahawa dia kafir, maka dia ialah musuh Allah dan rasul-Nya, kafir dengan wahyu yang diturunkan Allah.”

Jadi kita sangat sedih apabila mendapat maklum ada anak Melayu yang berfahaman Syiah. Simptom terawal yang hinggap pada mereka ialah melecehkan sahabat Nabi, jika tidak membencipun. Namun sekadar berduka tidak ke mana. Mari kita sama-sama menyelamatkan akidah umat.

Yang Sebenar

Jadi apa penjelasan sebenar tentang Sayidina Uthman lari daripada perang Uhud, tidak ikut serta perang Badar dan Baiatul Ridwan?

Sebenarnya hadis yang dibawa belum habis. Sila ikuti sambungannya:

Ibn Umar pun berkata: “Ke sini dahulu aku ceritakan dan jelaskan tentang apa yang kau tanya.

Adapun larinya beliau daripada perang Uhud, persaksikanlah bahawa Allah sudah ampunkannya. * (point out ke sendal)

Adapun ketiadaannya dalam perang Badar, sesungguhnya pada masa itu beliau terpaksa menjaga anak perempuan Nabi-isteri beliau- yang sedang sakit. Bahkan Rasulullah memujuknya: ‘Sesungguhnya bagimu ganjaran ahli Badar dan turut mendapat bahagian harta perangnya.’

Adapun ketiadaan dalam Baiatul Ridwan, kalaulah ada orang lain yang lebih dihormati di Makkah daripada Uthman bin Affan, nescaya Nabi menghantarnya menggantikan Uthman. Walhal terjadinya Baiatul Ridwan selepas pemergian Uthman ke Makkah. Bahkan Nabi bersabda sambil merujuk pada tangan kanan Baginda: ‘Ini tangan Uthman.’ Lantas Nabi meletak tangan itu di atas tangan Baginda satu lagi; ‘Ini untuk Uthman.’

Nah, sekarang pergilah membawa penjelasan ini bersamamu!” Tegas Ibn Umar. (Riwayat al-Bukhari)

…………………………

*

Oh, baru tahu!

Maksudnya: “Sesungguhnya sekumpulan antara kamu yang melarikan diri semasa hari bertembungnya dua angkatan tentera, sesungguhnya mereka telah digelincirkan oleh syaitan atas sebab kesilapan diri yang pernah mereka lakukan. Namun sesungguhnya Allah telah memaafkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, Maha Berlembut.” (Ali Imran 3: 155)