Ziarah-menziarahi sesama saudara Muslim amat digalakkan. Lalu jangan dimusimkan sunnah mulia ini. Rasulullah sangat memberi perhatian tentangnya lalu menggariskan beberapa adab untuk kita budayakan.

Alangkah besarnya pahala apabila amalan ziarah ini kita jayakan dan disempurnakan dengan adab-adabnya. Antara adab yang penting ialah tidak berdiri di muka pintu semasa menanti sambutan tuan rumah.

Abdullah bin Busr menceritakan: “Rasulullah apabila ke rumah seseorang, Baginda tidak menghadap di muka pintu sebaliknya menanti di sebelah kanan atau kiri pintu. Kemudian Nabi akan mengucapkan assalamualaikum, assalamualaikum.” (Riwayat Abu Dawud)

Alhamdulillah jika sudah sedia mengamalkan sunnah mudah ini. Walau bagaimanapun jangan lokek untuk berpesan-pesan kepada saudara yang lain. Mudah-mudahan kehidupan kita semua diwarnai dengan 1001 sunnah Baginda tercinta.