Profil

Nama sebenar: Malik bin Anas

Tahun: 93-179h

Asal: Madinah

Usia: 86 tahun, wafat di Madinah

Imam al-Zahabi mengulas, “Di Madinah setelah tabiin, tidak ada seorang alimpun yang menyerupai Malik dalam ilmu, fiqah, kebesaran dan hafalan..setelah para ulama tabiin Madinah meninggal, nama Malik masyhur di sana bersama ulama lain. Namun Malik lebih diutamakan secara mutlak. Dia menjadi tujuan orang datang dari pelbagai penjuru.” (Siyar)

Imam al-Syafii juga pernah berkata, “Jika disebut ulama, Maliklah bintangnya.” (Hilyah)

……

Kerana ilmu, beliau didengki orang. Lalu disebarkan dakwaan bahawa Imam Malik tidak menyokong kerajaan. Buktinya beliau mengajarkan hadis “tidak dikira jatuh talak atas orang yang dipaksa” walaupun telah dilarang. Akibat kempen jahat ini akhirnya beliau dihukum di khalayak ramai.

Ada Apa Dengan Hadis Ini?

Apalah sangat satu hadis ini? Imam Malik pula, apa masalahnya untuk tidak meriwayatkan satu hadis ini sahaja? Itu fikiran kita. Pada mereka, ilmu ialah amanah yang mesti disampaikan kepada umat tanpa mengira kepentingan mana-mana pihak.

Seperti imam Abu Hanifah juga, Imam Malik hidup pada era awal Bani Abbasiyah. Keadaan politik masih tidak begitu stabil. Apabila gabernor baharu dari Bani Abbasiyah mula menjalankan tugasnya di Madinah, sebahagian ulama pendengki mendekatinya. Merekalah yang membuat cerita; Imam Malik berpendapat bahawa baiah terhadap kamu tidak dikira. Kerana dia berpegang dengan hadis yang menyebut bahawa talak orang yang dipaksa tidak dikira. Maka begitu juga kalau dalam hal baiah. Baiah orang yang dipaksa tidak dikira.

Rentetannya, Imam Malik dipanggil menghadap kemudian dihukum. Dalam riwayat lain, Imam Malik diberi arahan supaya tidak lagi menyampaikan hadis tersebut. Lalu beliau pulang dan meneruskan pengajiannya.

Bagaimanapun puak pendengki masih tidak berpuas hati. Lalu dihantar seseorang untuk sengaja bertanyakan tentang hadis talak tersebut dalam satu majlis ilmu Imam Malik. Lalu atas dasar menyampai ilmu beliau meriwayatkan hadis tersebut. Kali ini beliau ditangkap dan dihukum!

Imam Malik dibuka bajunya, tangannya direnggangkan dalam keadaan terikat dan dicambuk dengan cemeti sampai terseliuh bahu hingga tidak dapat mengangkat tangan lagi.

Ikuti babak semasa beliau dicambuk berikut;

“Akulah Malik Bin Anas”

Ibn Wahhab menceritakan bahawa Imam Malik disebat dalam keadaan terikat dan diarak di atas unta. Lalu beliau diarahkan untuk menceritakan perihal kesalahannya.

Imam Malik pun berkata, “Ketahuilah, sesiapa yang sudah mengenaliku, maka dia kenal aku. Sesiapa yang belum mengenaliku, maka akulah Malik bin Anas bin Abi Amir al-Asbahi. Aku tetap berpendapat bahawa talak orang yang dipaksa tiada apa-apa kesan!”

Hal itu sampai ke pengetahuan Jaafar bin Sulaiman; Gabernor Madinah pada ketika itu. Lalu dia mengarahkan agar Imam Malik diam dan dihentikan hukuman memalukan tersebut. (Hilyah)

Sumber:

  • Kitab Hilyah al-Awliya’
  • Kitab Siyar A‘lam al-Nubala’
  • Kitab Tarikh Baghdad.
  • Kitab al-Tabaqat al-Kubra
  • Dan lain-lain.