• memancing di Laut dan Sungai
  • Hukum Memancing di Kawasan Rekreasi
  • Hukum Memancing di Kawasan Dilarang Memancing
  • Hukum Memancing di Tanah Orang
  • Hukum Tangkap Ikan di Sawah Padi Orang
  • Hukum Memancing di Unjam Orang
  • Hukum Memancing Dekat Sangkar Pecah

Berikut beberapa soal-jawab yang diharapkan membantu memandu para kaki pancing Muslim semua. Semoga minat kita berpahala dan bebas dosa.

Suka disebut bahawa sebahagian besar kemusykilan hukum ini berkaitan dengan prinsip harta harus (mal mubah). Jadi mohon membaca penerangan ringkas berkaitannya di hujung perbincangan.

1

Memancing di Laut dan Sungai

Dalam Islam, apa hukum memancing atau menangkap ikan di tempat-tempat awam seperti laut, pantai, sungai, tasik atau lombong? Memang hal ini biasa sahaja, cuma saya terfikirkan ulasan tentangnya dari sudut fiqah.

J

Harus. Secara asas dibolehkan memancing di sungai, laut dan tempat awam lain sebagainya selagi mana tidak ada larangan memancing daripada pihak berkuasa.

Penjelasan: Menurut perbahasan fiqah, sumber air seperti laut dan sungai ialah harta am yang dikongsi bersama oleh semua orang. Tidak ada sesiapapun boleh menghalang orang lain mendapatkan manfaat daripada nikmat Allah ini. Diriwayatkan Nabi bersabda: “Orang Islam berkongsi pada tiga perkara; air, rumput dan api.” (Riwayat Ahmad)

Sementara itu ikan dan haiwan lain yang terdapat di situ pula ialah harta harus (مال مباح ) yang tidak menjadi milik sesiapapun. Lalu sesiapa yang mendapatkannya dahulu, maka orang itu menjadi pemiliknya. Diriwayatkan Nabi bersabda: “Sesiapa yang lebih dulu mendapatkan sesuatu sebelum Muslim yang lain, maka perkara itu miliknya.” (Riwayat Abu Dawud)

2

Memancing di Kawasan Rekreasi

Apa pula hukum memancing di tempat rekreasi awam yang biasanya orang berkelah dan mandi manda di situ?

J

Secara asasnya dibolehkan memancing di situ. Hal ini sebagaimana dibolehkan memancing di sungai dan laut selagi tidak ada larangan. Bagaimanapun jika hendak memancing di situ, kita hendaklah lebih berjaga-jaga daripada menimbulkan gangguan apa lagi mendatangkan kemudaratan terhadap orang lain.

Nasihat: Ingat pesan Nabi: “Seorang Muslim ialah orang yang orang Muslim lain rasa selamat daripada lidah dan tangannya.” (Riwayat al-Bukhari) Walaupun memancing di situ dibolehkan, kita tetap kena mengambil kira keadaan semasa pada ketika itu. Boleh jadi orang lain tidak selesa kerana khuatir akan keselamatan mereka.

3

Memancing di Kawasan Dilarang Memancing

Biasanya tempat yang diletakkan notis “dilarang memancing”, di situlah ramai orang memancing. Apa pandangan agama tentang memancing di situ? Bagaimana pula dengan ikan yang ditangkap?

J

Dilarang memancing di situ kerana mentaati arahan pihak berkuasa dalam perkara yang baik adalah wajib. Adapun ikan yang ditangkap boleh dimakan kerana telah menjadi miliknya. Bagaimanapun perbuatannya memancing di situ tetap berdosa. Wallahu a’lam.

Nasihat: Allah amat menekankan soal mentaati arahan pihak berkuasa dalam hal kebaikan. Allah menegaskan: “Wahai orang beriman, taatilah Allah, taatilah Rasul dan pemegang urusan dalam kalangan kamu.” (Surah al-Nisa’: 59)

Maka orang Mukmin ialah orang yang mengikut peraturan bukan kerana takut akan hukuman atau denda sebaliknya kerana mentaati perintah Allah. Lebih-lebih lagi jika peraturan tersebut berkaitan kepentingan dan keselamatan awam. Contohnya larangan memancing di atas jambatan ditetapkan kerana tindakan itu dikhuatiri membahayakan keselamatan diri dan orang lain.

Cetusan: Amat menarik jika pihak berkuasa boleh merencanakan kemudahan memancing yang selamat di atas jambatan. Antaranya tempat letak kenderaan khas untuk pemancing dan pengunjung, teduhan di atas jambatan dan pagar keselamatan yang sesuai. Sekadar cadangan.

4

Memancing di Tanah Orang

Apa hukum memancing di kawasan sungai yang berada dalam tanah atau kebun orang?

J

Jika tanah atau kebun itu tidak berpagar, maka dibolehkan kerana ikan yang hidup semula jadi di situ termasuk dalam harta harus. Walau bagaimanapun jika kebun itu dipagar elok-elok dan difahami bahawa tidak boleh masuk tanpa izin, maka tidak boleh memancing di situ.

Penjelasan: Imam al-Mawardi dalam al-Hawi al-Kabir berkata: “Adapun segala yang terdapat di sungai-sungai dan mata air seperti ikan, maka ikan itu tidak dimiliki sebagaimana menurut mengikut kedua-dua mazhab melainkan dengan menangkapnya. Hal ini sama juga haiwan liar yang hidup di tanah seseorang adalah tidak dimilikinya melainkan dengan menangkapnya. Cuma tuan tanah itu berhak melarang orang lain memasuki tanahnya dan membuat sembarangan di situ. Bagaimanapun jika orang lain menangkap haiwan itu, maka menjadi milik mereka, bukan milik tuan tanah itu.”

5

Tangkap Ikan di Sawah Padi Orang

Dulu-dulu dan sekarang pun ada, budak-budak menangkap ikan di sawah orang lain. Apa hukumnya?

J

Boleh.

Penjelasan: Hal ini kerana tempat tersebut adalah terbuka dan ikan yang hidup semula jadi di situ termasuk dalam harta harus. Siapa tangkap dia dapat. Sesiapa tidak boleh mendakwa haknya hanya semata-mata haiwan liar itu berada di dalam kawasan persendiriannya.

Nasihat: Cuma kita tidak boleh sembarangan berbuat sesuka hati di situ. Antaranya memijak pokok padi orang, meruntuhkan batas sawah, menuba dan mengaran ikan sehingga boleh merosakkannya pokok padi di situ. Jika dilakukan maka berdosa dan wajib memberi ganti rugi.

6

Memancing di Unjam Orang

Apa hukum memancing di unjam yang kita jumpa di laut? Kita tidak tahu sama ada unjam tersebut milik persendirian atau dibuat oleh kerajaan untuk kegunaan orang ramai.

J

Boleh memancing di situ sekali pun unjam milik persendirian.

Penjelasan: Hal ini kerana ikan yang terdapat di situ masih harta harus, belum lagi kepunyaan orang yang meletakkan unjam di situ. Unjam yang diletakkan hanya menarik ikan berkumpul di situ. Ikan hanya menjadi milik setelah ditangkap dengan sempurna.

Tambahan: Cuma jangan bertindak melampau di situ seperti memukat tunda atau mengebom di situ. Kedua-dua perbuatan ini adalah salah menurut agama dari banyak sisi antaranya merosakkan alam dan harta orang.

7

Memancing Dekat Sangkar Pecah

Bolehkah kita memancing di tempat yang kita tahu bahawa sangkar ikan yang ada situ baru pecah justeru banyak ikannya terlepas keluar.

J

Wallahu a‘lam, saya menasihati saudara agar tidak memancing di situ buat sementara waktu sebagai memberi peluang kepada pemilik sangkar tersebut menangkap semula ikan-ikannya. Mungkin dua ke tiga hari selepas kejadian itu, anda boleh mula memancing di situ. Bagaimanapun jika tuannya menuntut kembali, kita kena memulangkan kepadanya. Namun kita berhak menuntut balasan atas usaha menangkap ikannya.

Penjelasan: Kes sebegini termasuk dalam perkara syubhat. Syubhat ialah perkara yang tidak dapat ditentukan halal atau haram. Kita tidak tahu sama ada ikan yang kita pancing di situ ikan liar atau ikan dari sangkar tersebut. Ikan liar adalah halal, ikan yang terlepas adalah haram kerana masih milik orang.

Keadaan ini sama seperti ayam atau kambing milik orang yang terlepas dari tempatnya. Bukan bermakna, asal haiwan itu terlepas terus tiada lagi hak milikannya. Melainkan selepas pemiliknya sudah putus asa dengannya, maka dibolehkan kita menangkapnya. 

Nabi bersabda: Sesiapa yang menjumpai seekor haiwan yang mana pemiliknya tidak mampu menjaganya dan  membiarkannya lalu dia mengambilnya dan menjaganya maka haiwan itu haknya.” (Riwayat Abu Dawud)

Berkenaan hal ini, Nabi sudah berpesan. Prinsipnya, jauhi syubhat, jiwa selamat.Nabi berpesan: “Sesungguhnya yang halal itu jelas, haram pun jelas. Antara kedua-duanya ada perkara syubhat yyang tidak diketahui oleh kebanyakan orang. Sesiapa yang mengelakkan diri daripada perkara syubhat, maka dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya.

Sesiapa yang terjebak dengannya, maka dia kemungkinan melakukan perkara haram. Hal ini sebagaimana seorang pengembala yang menggembalakan ternakannya di sekitar kawasan larangan yang hampir-hampir dia menceroboh ke dalamnya. Ketahuilah, setiap raja ada tanah larangan dan kawasan larangan Allah ialah perkara-perkara yang diharamkan-Nya.” (Riwayat Muslim)

Memahami Konsep Harta Harus (مال مباح)

  1. Apa itu harta harus

Harta harus ialah segala benda yang Allah ciptakan untuk kegunaan manusia yang belum dimiliki sesiapa lagi.

Contoh:

  1. Haiwan liar sama ada di darat atau di air.
  2. Tumbuhan; Rumput, pokok dan sebagainya
  3. Muka bumi: Tanah, kawasan termasuk hasil galian seperti emas dan minyak.
  4. Air dan udara.
  • Status Harta harus
  • Tiada sesiapa boleh menghalang orang lain untuk mendapatkan harta harus melainkan pemerintah melalui peraturan-peraturan yang ditetapkan demi kebaikan awam.
  • Sesiapa sahaja boleh menjadikan mana-mana harta harus sebagai milik peribadinya dengan cara menguasainya (الإستيلاء)  yang dibenarkan syarak.
  • Harta harus yang diusahakan akan menjadi milikan peribadi dengan dua syarat
  1. Belum ada orang lain yang menguasai harta itu sebelum ini.
  2. Memang berniat untuk menguasai harta itu daripada tindakan yang dilakukan.

Diriwayatkan Nabi bersabda: “Sesiapa yang lebih dulu mendapatkan sesuatu yang belum mana-mana orang Islam dapat, maka perkara itu miliknya.” (Riwayat Abu Dawud)

Nabi bersabda: “Sesiapa yang mengusahakan tanah yang bukan milik sesiapa, maka dialah yang lebih berhak terhadapnya.” Urwah mengulas: “demikian Umar menetapkan peraturan semasa khilafahnya.”(Riwayat al-Bukhari)

  • Cara memiliki (الإستيلاء)  harta harus
  1. Caranya berbeza mengikut jenis harta harus tersebut.

Contoh:

  1. Bahan galian seperti emas dan permata dengan cara menggali dan mengutipnya.
  2. Rumput dan pokok kayu dengan cara memotong dan mengambilnya.
  3. Haiwan dengan cara memburu dan menangkapnya.
  4. Tanah dengan cara mengusahakannya seperti dan membangunkan binaan.
  5. Air dengan cara mengumpul dan mengambilnya.
  1. Tidak dikira menguasai sekadar terjumpa dahulu tanpa niat, atau benda itu berada dekat atau dalam kawasannya.
  • Beberapa Kes Praktikal

Berdasarkan prinsip harta harus dia atas, ulama menyelesaikan sekian banyak itu pertikaian dalam masyarakat, antara contoh kes klasiknya adalah sebagaimana berikut:

Kes 1: Seseorang meletakkan bekas kosong dengan niat menadah air hujan yang turun. Lalu kemudian seseorang mengambil bekas tersebut. Lalu bagaimana?

Jawapannya, pemilik bekas berhak mendapatkan semula bekas sekali dengan air tersebut.

Kes 2: Seseorang meletakkan bekas kosong tanpa niat untuk tadah air. Kemudian hujan turun sehingga bekas itu penuh dengan air. Kemudian datang seseorang mengambil bekas berisi air tersebut. Lalu bagaimana?

Jawapannya, pemilik bekas berhak mendapatkan bekas sahaja.

Kes 3: Seorang pemburu menembak seekor haiwan buruan. Namun haiwan itu sempat lagi lari dengan masuk ke dalam rumah atau tanah seseorang. Tuan rumah dan pemilik tanah pun mahu menangkap haiwan itu juga. Lalu bagaimana?

Jawapannya, Haiwan itu menjadi hak si pemburu yang berjaya menembaknya tuan tanah yang menangkapnya. Melainkan jika si pemburu tidak menuntut, maka tuan tanah boleh memilikinya.