Apa pandangan ustaz tentang amalan memancing suka-suka atau juga disebut sebagai sport fishing atau catch and release (tangkap dan lepas). Amalan ini semakin popular di tempat kita.

J

Wallahu a‘lam, isu ini perlu diperhalusi lebih mendalam. Juga perlu menilai mengikut kes. Bagi kes orang memancing kerana suka-suka seperti membuat rekod peribadi tanpa niat untuk memanfaatkan hasil tangkapan tanpa alasan yang wajar, saya cenderung hukumnya haram, atau makruh paling kurang. Hal ini berdasarkan beberapa hujah, antaranya;

  1. Boleh termasuk dalam hukum memburu suka-suka.

Rasulullah pernah mengingatkan: “Jangan sekali-kali menjadikan sebarang makhluk bernyawa sebagai sasaran.” (Riwayat Muslim) Imam al-Nawawi mengulas: “Kerana perbuatan ini menyeksakan haiwan, membinasakan dirinya, mensia-siakan nilainya dan melepaskan penyemeblihannya jika haiwan itu jenis yang wajib disembelih atau melepaskan manfaatnya jika haiwan itu jenis yang tidak perlu disembelih.” (Syarh Muslim)

Berdasarkan hadis ini, ulama sepakat menetapkan haram memburu haiwan tanpa niat untuk memanfaatkannya sama ada dimakan, dihadiahkan dan dijual.

  1. Boleh termasuk dalam perbuatan menyeksa haiwan.

Bayangkan penyeksaan yang terpaksa dilalui ikan bermula dengan kesakitan terkena mata kail, kemudian bergelut melawan tarikan, kemudian sesak nafas apabila didarat kemudian sakit lagi semasa mata kail dibuang sebelum akhirnya dilepaskan kembali. Semua penyeksaan ini dihadapi ikan dengan sia-sia hanya untuk rekod peribadi pemancing, suka-suka atau sebagainya. Tambahan pula apabila dilepaskan, kita tidak tahu sama ada ikan tersebut boleh hidup atau tidak.

Tambahan: Penjelasan di atas tidak melibatkan kes-kes tangkap dan lepas yang lain seperti kail terkena ikan yang tidak dikehendaki seperti ikan buntal, atau saiz ikan terlalu kecil atau besar, untuk kajian, menjaga populasi ikan, mendapat arahan berbuat begitu atau sebagainya.