Masih lagi tentang isu mengenal diri melalui tarikh lahir. Tidak kurang ramai juga yang tidak bersetuju dengan isu ini. Antara respons balas “hebat” yang diterima:

  • “Tak salah. Ada ustaz, doktor yang percaya. Bahkan yang memperjuangkannya bukan calang-calang orang, Profesor!”
  • “Ia berdasarkan kajian, bukannya ramalan. Kajian metafizik sejak beribu-ribu tahun lepas lagi. Yang haram itu ramalan!”
  • “Apa salahnya nak kenal diri? Kalau yang ini haram, maka kajian dan ujian personality haram jugalah!”

Benar, manusia memusuhi apa-apa yang dia tidak tahu. Maka penting untuk kita mengetahui asal sesuatu, barulah kita tidak mengekornya tanpa usul. Kadang-kala manusia boleh bersetuju sahaja dengan kita setelah mengetahuinya.

Sejarah Numerologi

Percaya atau tidak numerologi ialah versi ilmu nujum atau astrologi yang wujud sejak zaman berzaman. Setiap bangsa antaranya bangsa Mesir kuno, Babylonia dan China mempunyai konsep teori nujum dengan angka-angka yang tersendiri.

Konsep “ilmu” ini dibina berdasarkan fenomena alam antara musim yang empat,pelangi yang tujuh, bintang yang Sembilan dan zodiac yang 12. Kemudiannya ia diberikan nafas baru oleh golongan falsafah antaranya Pitagoras. Dia mengolah konsep nombor dengan teori matematik. Atas kepercayaan bahwa seluruh jagat raya ini dapat dihitung secara matematis. Nombor-nombor itulah kunci jagat raya ini.

Dewasa ini sekali lagi ia diberikan nafas baru. Mengambil momentum perkembangan ilmu psikologi, ilmu ini diolah kepada kajian menganalisis personaliti dan potensi diri melalui tarikh lahir pula.

Produk Numerologi

Kajian atau analisis personaliti dan potensi diri melalui tarikh lahir ialah produk numerologi. Numerologi moden ini begitu pantas menjadi fenomena global kerana faktor Internet dan bahasa Inggeris.

Di Barat, baik orang yang skeptical mahupun pengamalnya sedia maklum bahawa kajian tarikh lahir sebahagian daripada “ilmu” numerologi. Walau bagaimanapun apabila diimport ke dunai Islam, susur galurnya sengaja disembunyikan.

Maka tidak hairanlah masyarakat kita pertama kali mendengar istilah ini walaupun dia pernah menghadiri kursus kaji tarikh lahir. Percayalaha segala input dan penerangan yang dibuat pasti merujuk sama ada buku atau laman sesawang berkaitan numerology.

Ringkasnya, numerology ialah “kajian” tentang nombor atas kepercayaan bahawa nombor berhubungan rapat dengan manusia dan peristiwa. Dalam numerologi, setiap nombor daripada 1 hingga 9 dipercayai ditadbir oleh satu planet tertentu. Maka orang yang bernombor diri 1 akan mewarisi ciri-ciri planetnya.

9 Nombor Primer Dan Planet

Apa-apa sahaja analisis yang diberi, semuanya akan merujuk kepada analisis nombor primer yang sembilan. Berikut sedikit sedutannya:

1: Matahari

Matahari sesuatu yang kuat, individual dan kreatif. Mereka yang bernombor 1 biasanya seorang pemimpin, berwawasan, aktif  dan dominan. Mereka cenderung untuk bersifat ego, tidak mengenal kasihan dan keras kepala apabila ditentang.

2: Bulan

Orang nombor 2 biasanya seorang yang lembut, pasif, artistic, menawan dan mempunyai daya intuisi yang tinggi. Dia boleh jadi serorang yang terlalu sensitif dan muah tertekan. Sebagaimana bulan dan matarahai, orang nombor 1 dan 2 biasanya serasi.

3: Jupiter

Orang nombor 3 seorang bersemangat tinggi, disiplin, berbakat dan selalu berjaya dalam bidang yang diceburi. Mereka suka mengambil tanggungjawab dan memerintah orang.

4: Uranus.

Empat simbolik kepada musim. Seorang yang mantap, praktikal dan punyadaya tahan tinggi. Dia sering melihat perkara dari sudut berlainan justeru sering dikenali sebagai pembangkang dan tidak konvensional. Dia serasi dengan orang nombor,2,7 dan 8.

5: Merkuri.

Selari dengan Merkuri, dia seorang periang, berfikir pantas dan emosional. Mereka pandai mencari wang, mudah bangkit dari kegagalan dan senang berkawan dengan sesiapa saja.

6: Venus

Dia seorang romantic dan rela mengorbankan diri demi cinta. Kaitan matematik yang rapat dengan nombor 1, 2 dan 3 mengisyaratkan keseimbangan dan keharmonian. Biasanya dia seorang yangmemberi perhatian besar terhadap kehidupan rumah tangga.

7: Neptun

Juga berkaitan air. Maka orang nombor 7 suka melakukan aktiviti di perairan. 7 angka utama dalam ilmu nujum, maka mereka cenderung memiliki keupayaan falsafah dan spiritual yang tinggi.

8: Saturn.

Sebagai gandaan 4, sifat orang nombor 8 sering bertentangan dengan orang nombor 4. Angka ini juga simbol kesedihan. Biasanya dia seorang yang individualistik, dingin dan cekal. Sebenarnya dia seorang yang mempunyai rasa hati kuat.

9: Marikh

9 ialah angka puncak dan berkait rapat dengan penyucian. Orangnya pantang menyerah, aktif dan penuh dengan kemahuan. Juga seorang yang tidak putus asa justeru sering terdedah kepada kecelakaan  dan dilihat suka bertengkar dengan orang lain.

Maka daripada “asas” ini, para “pengkaji” numerology menghasilkan satu lagi produk kreatif iaitu aspek keserasian antara nombor. Contohnya, orang nombor 1 serasi dengan 4, 2 an 7, 3,6 dan 9 manakala nombor 5 boleh “masuk” dengan semua orang.

Aneka Ragam Mencari Nombor

Terdapat pelbagai cara kreatif yang direka untuk mencari nombor yang ingin dianalisis. Nombor-nombor itu pula ada pelbagai nama antaranya nombor casis diri, angka tarikh lahir, angka nama, nombor primer dan sekunder. Ada juga nama yang lebih bombastik seperti “life path number”; nombor laluan hidup.

Apa kata kita mengambil tahu tentang beberapa cara tersebut.  Tidak salah melakukan uji kaji dengan niat mengkaji demi mengelakkan diri. Dalam masa yang sama, mungkin kita boleh memahami sebab perkara ini diminati.

Cara 1-Berdasarkan tarikh hari bulan kelahiran

Ini cara termudah. Caranya, kita melakukan operasi tambah angka hari bulan dari kiri ke kanan hingga kita mendapat hasil akhirnya nombor primer dari 1 hingga 9.

Contoh pengiraan:

  1. A lahir pada 31 hari bulan, maka 3+1= 4. Jadi si A orang bernombor 4.
  2. B lahir pada 29 hari bulan, maka 2+9=11. Disebabkan 11 bukan nombor primer, maka dilakukan pengiraan lagi. Jadinya 1+1=2. Maka B orang nombor 2.

Maka dirumuskan:

Tarikh lahir Nombor Diri
01, 10, 19 dan 28 1
02, 11, 20 dan 29 2
03, 12, 21 dan 30 3

Begitulah seterusnya.

Cara 2-Berdasarkan tarikh lahir penuh

Cara ini kompleks sedikit, maka ia menambahkan rasa “wow”. Kaedah pengiraan tetap sama iaitu operasi tambah nombor dari kiri ke kanan. Bezanya kali ini melibatkan nombor yang lebih banyak.

Contoh:

C lahir pada 21 March 1984. Maka pengiraannya:

21 March 1984
2+1 03 1+9+8+4
3 3 22
3+3+22=28
28: 2+8=10
10: 1+0=1
C orang nombor 1

Cara 3-Berdasarkan ejaan nama.

Asas pengiraannya tetap saya. Cuma untuk mendapatkan nombor, kita perlu tukarkan setiap huruf nama kepada nombor mengikut jadual. Jika dalam tulisan Roman, berikut jadualnya:

1 2 3 4 5 6 7 8 9
A B C D E F G H I
J K L M N O P Q R
S T U V W X Y Z  

Contoh: D bersama Abu Bakar.

ABU BAKAR
1+2+3=6 2+1+2+1+9=15
6+15= 21
2+1=3
Abu Bakar orang nombor 3

Bukan Lagi Suka-suka

Sebelum saya mengkaji tentang numerologi, saya beranggapan analisis personaliti berdasarkan tarikh lahir, analisis bulan kelahiran dan seumpamanya hanyalah versi kreatif bersifat suka-suka semata-mata. Saya sendiri pernah berseronok dengannya.

Astaghfirullah, rupa-rupanya tidak. Ia tidak lain hanyalah ilmu nujum yang haram di sisi Islam. Cuma asal –usulnya sudah “terputus” akibat dipakej semula. Kes ini samalah seperti adat menepung tawar; dahulunya menjadi upacara mengambil berkat dan mencegah sial, kini hanyalah sebagai adat pelengkap majlis. Biarpun berubah wajah, hukumnya kekal.

Ingat amaran Allah;“Jika mereka mensyirikkan Allah, nescaya lenyaplah amalan-amalan kebaikan yang telah mereka usahakan.” (Surah al-An’am, 6: 88)