Manusia suka cerita dan kisah. Maka tidak hairan Allah menghiasi al-Quran dengan aneka kisah. Bukan sekadar kisah, tetapi kisah bertarbiyah penuh ibrah. Ada kisah yang diulang sebut di beberapa tempat. Ada juga kisah yang hanya disebut sekali sahaja, antara kisah ashabulqaryah. Kisah ini hanya disebut dalam surah Yasin.

Ashabulqaryah bermaksud penduduk kota. Allah berfirman: “Ceritakanlah kepada mereka tentang ashabulqaryah ketika para rasul mendatangi mereka.” (Surah Yasin 36: 13)

Kisah ini hanya terdapat dalam surah ini, tidak berulang di tempat lain sebagaimana banyak kisah al-Quran yang lain. Melihat kepada cerita surah yang diturunkan pada era Makkah ini, kita akan dapat bayangkan betapa besarnya kisah ini di hati Nabi dan sahabat. Ini kisah pengubat lara pembakar semangat Nabi dan para sahabat.

Tambah menarik, dalam al-Quran hanya dua kali sahaja Allah memberi arahan “ceritakan kepada mereka”. Satu lagi dalam surah al-Kahfi ayat 32. Hal ini mengisyaratkan bahawa betapa penting kisah ini untuk kita ambil tahu bahkan mempelajarinya.

Alhamdulillah, kebanyakan kita membaca surah Yasin pada setiap minggu. Maka semua sudah tahu tentang kisah ini. Betulkan?