Antara penyebab konflik rumah tangga ialah suami ego daripada mendengar buah fikiran isteri. Baginya isteri hanya perlu menurut. Cadangan isteri tidak lebih seperti rungutan dan leteran kosong. Awas, bukan begitu sikap pencinta Nabi!

Suara wanita ada nilai untuk didengari. Siapakah yang mencadangkan Rasulullah agar merujuk Waraqah bin Naufal? Tatkala itu, Rasulullah dirundung kebimbangan dek peristiwa di gua Hira’.

Siapakah yang memberi cadangan bernas kepada Rasulullah sewaktu Baginda buntu? Tatkala itu para sahabat tidak mengendahkan arahan Baginda supaya melakukan sembelihan kerana terlalu kecewa setelah Rasulullah akur dengan permintaan puak Quraisy yang menghalang mereka memasuki Makkah untuk menunaikan umrah.

Siapa lagi jika bukan isteri Baginda? Suara wanita!

Bahkan al-Quran mengabadikan suara beberapa orang wanita terpilih. Ada antara suara tersebut memperlihatkan kecerdikan mereka. Tidak kurang yang menunjukkan keberanian, dan umumnya membuktikan kedekatan jiwa mereka dengan Allah.

Beberapa petikan ayat al-Quran di bawah antara suara wanita yang dirakam dalam al-Quran. Alangkah eloknya pembaca membacakan ayatnya dengan penuh tartil, meneliti terjemahannya dengan niat tadabbur dan meneka gerangan orang yang berkata.

1.

“Tuhanku, aku nazarkan kepada-Mu apa yang ada di dalam kandunganku ini sebagai seorang yang bebas. Maka terimalah nazar daripadaku. Engkau yang Maha Mengdengar lagi Maha Mengetahui.” (Ali ‘Imran 3: 35)

Siapa yang berkata?: ……………………………………..

2.

“Wahai Tuhanku, bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelakipun?” (Ali ‘Imran 3: 47)

Siapa yang berkata?: ……………………………………..

3.

 “Sungguh ajaib keadaanku! Adakah aku akan melahirkan anak padahal aku sudah tua dan suamiku ini juga sudah tua? Sesungguhnya kejadian ini suatu perkara yang menghairankan.” (Hud 11: 72)

Siapa yang berkata?: ……………………………………..

4.

“Sekarang ternyatalah kebenaran! Akulah yang menggoda Yusuf. Sesungguhnya dia termasuk kalangan orang yang benar.” (Yusuf 12: 51)

Siapa yang berkata?: ……………………………………..

5.

“Sesungguhnya aku berlindung kepada Allah daripada gangguanmu.” (Maryam 19: 18)

Siapa yang berkata?: ……………………………………..

6.

“Alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan aku menjadi manusia yang dilupakan dan tidak dikenang-kenang.” (Maryam 19: 23)

Siapa yang berkata?: ……………………………………..

7.

 “Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia hina-dina. Demikianlah yang dilakukan mereka.” (Al-Naml 27: 34)

Siapa yang berkata?: ……………………………………..

8.

 “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri.” (Al-Naml 27: 44)

Siapa yang berkata?: ……………………………………..

9.

 “Wahai ayah, ambillah dia sebagai pekerja. Sebaik-baik pekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah.”(Al-Qasas 28: 26)

Siapa yang berkata?: ……………………………………..

10.

 “Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam syurga. (Al-Tahrim 66: 11)

Siapa yang berkata?: ……………………………………..

Jawapan:

Siapa yang berkata:

  1. Isteri ‘Imran.
  2. Maryam.
  3. Isteri Nabi Ibrahim.
  4. Isteri al-‘Aziz.
  5. Sayidatina Maryam.
  6. Sayidatina Maryam.
  7. Ratu Balqis.
  8. Ratu Balqis.
  9. Anak perempuan Nabi Syuaib.
  10. Isteri Firaun.